ALOR SETAR (28.02.2026) – Tahun Baru Cina yang disambut saban tahun oleh masyarakat Malaysia kali ini disambut dengan penuh kemeriahan memandangkan tahun ini merupakan tahun kuda yang membawa maksud tahun yang penuh tenaga, keberanian, ketekunan dan semangat untuk terus maju bagi masyarakat Tionghua.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kita sekarang menghadapi pelbagai cabaran yang besar dalam semua aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan kita harap dengan tahun kuda yang dirayakan tahun ini kita dapat menghadapi cabaran dengan kuat, sekuat kuda itu sendiri.

‎”Kekuatan sesebuah negeri tidak boleh bersandar pada satu kelompok majoriti sahaja, tetapi saya yakin dan percaya semua kaum dapat mengembling serta menjulang negeri Kedah ini dengan perpaduan, kesatuan yang erat demi kesejahteraan bersama.

‎”Sambutan perayaan seperti ini di peringkat negeri membuktikan bahawa tuduhan dan pandangan serong yang diberikan kepada negeri ini sebagai negeri yang tercorot index perpaduan dapat dibuktikan sebagai satu kesilapan.

‎”Datang dan bergaullah dengan orang Kedah dengan lebih lama, agar pandangan serong tersebut dapat dilihat sebagai perpaduan dan kesatuan yang erat dikalangan semua kaum di negeri ini.

‎”Sejak saya menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, saya selalu berpesan bahawa saya bukan ketua untuk satu kaum sahaja di negeri ini tetapi ketua untuk semua kaum di Kedah tanpa mengira latar belakang yang perlu dilayan sama rata dan saksama.

“Sebagai seorang muslim, agama saya mengajar agar diskriminasi kaum tidak boleh sekali-kali dilakukan dan setiap orang di negeri ini mempunyai hak masing-masing dan saya sebagai ketua yang diberi amanah, perlu menjaga hak itu dengan sebaik-baiknya tanpa menganiayai sesiapa pun,” katanya.

‎Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2026 di Dewan Perhimpunan Cina Kedah, Jalan Tanjung Bendahara di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mej (B) Mansor Zakaria; Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden; ADUN Derga, Muhamad Amri Wahab; Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Pulau Pinang, Zhou Youbin dan Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Kedah, Dato’ Cheng Lai Hock.

Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata di Negeri Kedah, seramai 276,000 warga daripada keturunan Tionghua. Walaupun dalam jumlah yang minoriti, Kerajaan Negeri akan sentiasa bekerja keras untuk membawa kesejahteraan dan kemakmuran serta mempermudahkan setiap urusan kehidupan mereka sebagaimana warga Negeri Kedah yang lain.

‎”Dalam menguruskan tanggungjawab ini, semua kita bergerak dalam satu pasukan, dan Alhamdulillah, di Negeri Kedah, semua kaum dapat hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

‎”Keharmonian yang kita nikmati ini adalah kerana kita mengutamakan sikap saling hormat menghormati, bertolak ansur dan kemahuan bersama untuk menjaga hubungan baik sesama kita hidup dalam masyarakat majmuk di negeri ini.

“Mudah-mudahan Negeri Kedah Darul Aman yang dicintai ini akan terus aman sejahtera dan dirahmati dengan lebih banyak kemajuan dan kejayaan pada masa akan datang,” ujarnya.

Sumber : Warta Kedah